The Penita Initiative

  • Increase font size
  • Default font size
  • Decrease font size
Home > Keuntungan Mendorong Kehidupan

Keuntungan Mendorong Kehidupan

E-mail Print PDF

Impian Kemewahan

Keuntungan, kekayaan dan kemewahan adalah impian setiap insan. Impian ini didorong dan diapi-apikan oleh sistem ekonomi ala-kapitalis melalui media massa, promosi tawaran istimewa, pemberian hadiah dan lain-lain. Ini telah mewujudkan satu persepsi bahawa tanpa wang akan menyukarkan untuk menjalani kehidupan seharian dan menganggap wang adalah segala-galanya.

Di zaman dahulu, individu yang tidak mempunyai wang masih boleh menikmati barangan yang diinginkan kerana wujudnya ‘sistem ala-kemasyarakatan’. Sistem ini mementingkan kehidupan bersama di mana wujudnya sifat tolong-menolong dan kejiranan sesama sendiri. Tetapi zaman sekarang ia semakin hilang dan di sesetengah tempat ia tidak lagi diamalkan.

Hari ini masyarakat kita telah terperangkap dalam satu sistem pembangunan yang menjadikan seseorang individu itu pentingkan kebendaan, keseronokan dan lain-lain. Sistem pembangunan yang dimaksudkan ialah ‘sistem ala-kapitalis’. Sistem ini mengikut kajian PENITA menyebabkan masyarakat kita mengetepikan kepentingan masyarakat seperti bantu-membantu dan berjimat-cermat. Sebaliknya mereka mementingkan kehidupan dan kebahagian diri lebih daripada kepentingan masyarakat.

Perbezaan antara dua sistem pembangunan

Kedua-dua sistem ini mempunyai jurang perbezaan yang terlalu ketara. Antara perbezaan yang boleh digambarkan ialah:-

Pembangunan Ala-Kapitalis Pembangunan Ala-Kemasyarakatan
Kepentingan diriKepentingan bersama dan masyarakat
Berlandaskan kemewahanBerlandaskan keperluan
Wujud sifat pembaziran dan tamakWujud sifat berjimat-cermat dan tolong-menolong
Pentingkan kebendaan dan amalan budaya hidup materialisma. Menggunakan apa yang tersedia ada dengan amalan budaya hidup kesederhanaan
Hiburan dan keseronokan menjadi asas hidup.Budaya dan budi bahasa menjadi amalan hidup.
Semangat kejiranan yang lemah.Semangat kejiranan yang utuh
Berfokus kepada kekayaan dan kesejahteraan peribadi.Berfokus kepada kekayaan dan kesejahteraan masyarakat.

 

Kewujudan sistem ala-kapitalis dalam masyarakat kita telah melemahkan dan melunturkan sistem sosial dan ekonomi kemasyarakatan. Perkembangan ini dikenalpasti sebagai punca utama masalah remaja kehilangan pedoman, keretakan institusi kekeluargaan dan masalah masyarakat seperti jenayah, penipuan dan keruntuhan moral. Tambahan pula perkembangan ini menyebabkan masyarakat kini menganggap bahawa sistem ala –kapitalis membolehkan mereka hidup dalam kemewahan seperti yang diimpikan sedangkan sistem ala-kemasyarakatan tidak penting lagi dan dianggap sudah ketinggalan zaman serta kuno.

Namun sejak kebelakangan ini nafsu mencari keuntungan sudah mulai mendorong kita. Ianya telah mulai mempengaruhi kehidupan kita di mana sesetengah individu membezakan individu lain berdasarkan kekayaan yang dimiliki dan bukannya sifat keperibadian. Inilah fenomena yang kian menjadi-jadi di mana kerakusan manusia ingin memiliki kekayaan. Bak kata pepatah ‘untung sabut timbul, untung batu tenggelam’.

Sistem ala-kapitalis lebih mengutamakan kepentingan peribadi. Sebagai contoh, bencana yang wujud seperti Taufan Katrina yang menyebabkan ramai terkorban tetapi tiada bantuan yang dihantar kepada mangsa sehinggalah mangsa membuat rusuhan. Mangsa-mangsa ini terdiri daripada golongan miskin yang tidak mempunyai kekayaan dan kenderaan untuk menyelamatkan diri. Inilah hakikat yang harus kita terima kepentingan diri sendiri mengatasi kepentingan masyarakat. Dalam peristiwa ini ternyata semangat masyarakat hilang sama sekali dan kepentingan peribadi ternyata timbul.

Penjajahan Ala-Kapitalis

Selain itu, pembangunan ala-kapitalis telah menjajah manusia dari pelbagi segi yang kita mungkin tidak sedari. Mengikut kajian majalah PENITA terdapat 4 aspek penjajahan iaitu:-

Penjajahan minda

Penjajahan minda menjadikan seseorang individu itu tamak dan haloba di mana ingin memiliki kekayaan sebanyak yang mungkin. Sifat tamak ini wujud disebabkan oleh pengaruh media massa, sifat peribadi dan kewangan. Pengaruh media massa membolehkan seseorang itu menjadi tamak di mana iklan yang disiarkan seperti promosi tawaran istimewa dan pemberian hadiah untuk pembelian barang menyebabkan mereka berfikir bahawa terdapat jalan mudah untuk menjadi kaya.


Sifat peribadi juga membolehkan individu itu menjadi tamak. Sifat tamak yang wujud dalam diri menyebabkan mereka berfikir ingin mengumpul kekayaan sebanyak yang boleh dan kalau boleh melebihi daripada orang lain. Selain itu, sumber kewangan juga memainkan peranan di mana sesetengah individu sanggup melakukan apa sahaja asalkan mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh. Sehingga tidak mustahil seseorang itu sanggup melakukan pekerjaan yang mengancam nyawanya sendiri seperti penculikan dan rompakan.


Ia boleh dikaitkan dengan kes penculikan kanak-kanak yang terjadi di Johor Bahru.Di mana 3 orang lelaki telah menculik seorang kanak-kanak lelaki berusia 7 tahun pada 22 Ogos lalu dengan niat mendapatkan wang tebusan sebanyak RM 200,000.00 daripada keluarga mangsa. Mengapa mereka melakukan itu semua? Wang adalah jawapannya. Minda mereka telah disetkan bahawa pekerjaan sebegini menjanjikan kekayaan yang cepat tanpa perlu menunggu lama.

Penjajahan nafsu

Penjajahan dari segi nafsu menyebabkan manusia sukar untuk berfikir secara waras. Nafsu manusia wujud kepada kebendaan dan kekayaan. Nafsu kebendaan akan membuatkan seseorang itu ingin memiliki apa sahaja barangan walaupun mungkin tidak mampu dimiliki. Manakala nafsu kekayaan pula ingin memiliki kekayaan dan berangan-angan bergelar jutawan tanpa perlu berusaha sedangkan hakikat itu tidak mungkin terjadi.

Nafsu yang dijajah akan memungkinkan seseorang itu melakukan sesuatu di luar perancangan dan dugaan di mana ia adalah untuk kekal kaya, kedudukan diri dan lain-lain. Sebagai contoh, kes rasuah yang terjadi di Ipoh di mana bekas Exco Perak, Datuk Azman Mahalan didapati bersalah atas tuduhan rasuah. Beliau memberi rasuah RM 2,000.00 kepada pengurus syarikat pembinaan sebagai dorongan tidak menerima tawaran penyelesaian supaya Pazli Abdullah Sani kekal muflis dan tidak layak bertanding untuk jawatan Ketua Pemuda Umno Bahagian Tapah pada 22 April 2001.

Mengapa beliau melakukannya? Ini kerana nafsu menguasai diri dan merasakan kekayaan yang dimiliki akan berkurangan sekiranya beliau tidak menyandang jawatan tersebut.

Penjajahan kebudayaan

Kebudayaan ketimuran yang telah lama wujud dalam sistem pembangunan ala-kemasyarakatan telah tiada lagi dalam sistem ala-kapitalis ini. Jika dulu sistem ala-kemasyarakatan menitikberatkan budi bahasa, kejiranan dan tolong-menolong tetapi sistem ala-kapitalis melemahkan dan meruntuhkan sistem budaya hidup kemasyarakatan di mana ianya mendorong kita mengamalkan sikap mementingkan diri sendiri.

Sistem ini juga lebih menitikberatkan budaya keseronokan dan hiburan semata-mata. Mereka berfikiran sedemikian kerana menganggap keseronokan dan hiburan adalah gaya hidup. Kebudayaan ketimuran yang kita pelihara selama ini sudah dicemari oleh sistem ini. Budaya sekarang lebih kepada budaya barat yang kita tidak pasti asal usulnya. Mengapa kita harus musnahkan budaya ketimuran disebabkan oleh sistem ini?

Sebagai contohnya, karnival ‘sureheboh’ yang diadakan di kebanyakkan negeri di Malaysia mendapat sambutan yang cukup menggalakkan daripada masyarakat setempat. Tetapi, tidakkah kita sedar bahawa karnival ini hanya membawa keseronokan dan hiburan semata-mata. Program Akademi Fantasia juga tidak kurang hebatnya. Sesetengah individu sanggup berhabisan demi mengundi peserta kesayangan. Adakalanya tidak sedar bil bulanan telah melambung tinggi.

Ternyata karnival ‘sureheboh’ dan program Akademi Fantasia ini memesongkan corak hidup kita dan mendorong golongan remaja sentiasa berpesta dan melupakan tanggungjawab terhadap kerja serta keluarga.

Penjajahan kepercayaan

Pembangunan ala-kapitalis sudah mulai menjajah kepercayaan semua agama. Penjajahan dari segi kepercayaan amatlah membahayakan kita dan masyarakat. Di mana kepercayaan individu terhadap individu lain telah semakin pudar atau hilang. Ini kerana tiada lagi sikap jujur sesama mereka. Masing-masing lebih mementingkan diri dan berlumba-lumba untuk mencari kemenangan dan kekayaan. Sistem pendidikan juga berorientasikan kepada lulus peperiksaan dan berlumba mendapatkan kedudukan yang tinggi.

Lantaran itu, sikap kepercayaan seperti baik, jujur, beramanah dan beretika terlalu sukar untuk kita lihat di zaman sekarang kerana masyarkat kita lebih menonjolkan sikap tamak dan holaba. Sekiranya kerpercayaan sudah tiada lagi dalam diri atau masyarakat kita, bagaimana perjalanan hidup kita sedangkan masing-masing menonjolkan perasaan curiga dan was-was.

Kita mungkin tidak percaya bahawa sesetengah program yang dipaparkan di televisyen menggalakkan kekayaan yang cepat. Sebagai contoh Roda Impian dan ‘Who Wants To Be Millionaire?. Program yang dipaparkan ini membuatkan masyarakat kita percaya bahawa adanya jalan mudah untuk memperolehi kekayaan dan kemewahan.

Usaha Ke Arah Pembangunan Lestari 

Inisiatif PENITA berusaha mencari satu model pembangunan lestari yang bersifat masyarakat di mana kita boleh menentukan kesejahteraan hidup generasi kini serta generasi akan datang. Inisiatif PENITA juga merasakan kehidupan masyarakat tidak perlulah dipengaruhi oleh keuntungan dan kekayaan semata-mata kerana ia belum tentu menjamin kebahagian. Biarlah kita menentukan kehidupan ini berdasarkan apa yang ada dan bukannya kekayaan yang dimiliki.

Dengan mengubah perspektif, hidup masyarakt akan lebih terjamin kerana menganggap kehidupan tidak akan dipengaruhi oleh keuntungan semata-mata. Sedarlah kita akan hakikat itu dan kita mempunyai kuasa untuk menentukannya.

Dalam usaha ini, Inisiatif PENITA mengalu-alukan penglibatan, kerjasama dan sumbangan semua pihak khasnya kaum wanita bersama-sama mencari jawapan serta perubahan ke arah satu sistem pembangunan yang lebih mampan dan bersejahtera. Lihat ‘Panduan Bertindak’ untuk idea cara-cara kita boleh bertindak bagi mencapai pembangunan lestari. Sesiapa yang ingin menyertai perjuangan Inisiatif PENITA boleh menghubungi kami.







 
Banner

Thursday, 20th June, 2013

Polls

What is the state of women's voice today?