The Penita Initiative

  • Increase font size
  • Default font size
  • Decrease font size
Home > Tiga Beban Wanita

Tiga Beban Wanita

E-mail Print PDF

Sebagai Isteri dan Ibu, Pekerja dan Ahli Masyarakat

Faktor Masalah

Perubahan cara masyarakat hidup dalam dunia ini telah mengakibatkan kaum wanita menghadapi tiga beban utama. Beban yang dihadapi oleh wanita kini ialah beban sebagai isteri dan ibu, beban sebagai pekerja dan beban sebagai ahli masyarakat. Terdapat tiga faktor telah dikenalpasti oleh Penita yang menyebabkan beban kepada kaum wanita ini berlaku.

Pertama, sistem ekonomi moden memerlukan tenaga wanita untuk berkerja. Keperluan ini timbul semenjak mulanya revolusi perindustrian di mana kaum wanita dibawa masuk kerja di kilang-kilang. Tenaga kerja wanita hari ini amat diperlukan dalam memajukan ekonomi negara. Kerana keperluan ini, semakin hari kaum wanita semakin didorong dan dididik membina keupayaan diri untuk bekerja. Ini menjadi fenoma kehidupan moden.

Faktor kedua adalah bahawa sistem ekonomi hari ini mempromosikan gaya hidup moden yang memerlukan pelbagai aneka barang-barangan untuk menyara hidup. Cara hidup ala konsumersima telah diperkenalkan sebagai asas pembangunan ekonomi dan negara. Dunia didorong mengamalkan budaya hidup materialisma sebagai asas menjamin kualiti hidup masyarakat. Cara hidup ala konsumerisma memerlukan kewangan tambahan dan keperluan ini mendesak kaum wanita turut terlibat mencari kerja untuk mendapatkan wang tambahan bagi keluarganya.

Apabila dunia sedang bergolak dengan pembaharuan ini dengan bagitu pesat, kita masih terperangkap dan dikongkong oleh sistem patriaki. Ini menjadi faktor ketiga yang menyebabkan wanita memikul ketiga-tiga beban, iaitu sebagai isteri dan ibu, beban sebagai pekerja dan beban sebagai ahli masyarakat.

Dalam sistem patriaki kuasa ekonomi, politik keluarga, (iaitu kuasa membuat keputusan dalam hal kekeluargaan) serta sosial telah dipertanggungjawabkan kepada kaum lelaki. Dalam sistem patriaki kaum wanita pula dipertanggungjawabkan bagi mengikut dan membantu lelaki. Ini telah mengagihkan peranan serta tugas tertentu bagi suami dan isteri serta lelaki dan wanita. Ini memudahkan tugas wanita untuk menguruskan keluarga.

Prinsip asas sistem patriaki adalah ciri utamanya iaitu tanggungjawab lelaki terhadap keluarganya. Ciri kedua adalah agihan peranan serta tugas tertentu bagi lelaki dan wanita. Sekiranya kaum lelaki main perananya dengan baik dan menggunakan kuasa tersebut dengan penuh tanggungjawab maka isteri, keluarga dan masyarakat akan menerima hikmahnya. Tetapi sebaliknya wanita di minta main peranan tambahan dan kuasa patriaki itu di salahgunakan maka isteri, keluarga dan masyarakat akan menimpa balasan tindakan yang kurang adil.

Beban-Beban Wanita

Pendek kata sistem patriaki hari ini sudah usang dan ketinggalan zaman. Wanita terpaksa mengambil agihan kerja yang lebih tetapi masih tetap dengan tanggungjawab yang sama saperti disusun dalam sistem patriaki. Maka wanita terpaksa menanggong beban baru dalam usaha menyara hidup. Penita mengupas ketiga tiga beban wanita dengan lebih mendalam supaya dapat kita mendalami lagi fahaman kita mengenai masalah ini.

Beban 1: Peranan sebagai isteri dan ibu

Secara lazimnya, urusan rumah tangga dan keluarga telah dipertanggungjawabkan kepada kaum wanita. Wanita melalui peranannya sebagai isteri dipertanggungjawabkan menjaga hal-hal rumahtangga seperti menguruskan makan minum, perbelanjaan rumah dan sebagainya. Selain daripada itu, sebagai seorang ibu mereka dipertanggungjawabkan untuk mendidik, menjaga, dan mengasuh anak-anak.

Tugas tugas ini sudah mulai menjadi beban kepada wanita sekiranya mereka juga perlu berkerja untuk mendapat pendapatan. Kerja-kerja urusan rumah diserahkan kepada pembantu rumah tetapi tanggungjawabnya masih diamanahkan kepada isteri. Ini akan mengakibatkan isteri semakin hari semakin hilang kemahiran mengurus rumahtangga. Ramai wanita yang bekerja dididik agar dapat mengurus kerjaya mereka dengan baik. Tetapi sebaliknya pendidikan dan keupayaan mengurus rumah tangga semakin hari semakin menjadi lemah. Apabila ini berlaku urusan rumah tangga sudah mulai terabai.

Keadaan ini sudah menjadi satu beban kepada wanita dalam memain peranannya sebagai isteri dan ibu.

Beban 2: Peranan sebagai pekerja

Amalan patriaki bukan sahaja terjadi dalam hal urusan rumah tangga tetapi masih wujud di tempat kerja. Wanita pada lazimnya diberi kerja-kerja membantu sahaja, iaitu yang dianggap sebagai remeh-temeh dan tidak penting seperti menjadi setiausaha, menaip, fotokopi, buat minuman dan menjaga kebersihan pejabat dan lain-lain. Diskriminasi berlaku bukan sahaja dalam kerja tetapi juga dalam gaji.

Wanita juga adakalanya terpaksa menghadapi gangguan seksual dari teman-teman pekerja lelaki ataupun pelanggan-pelanggan lelaki sewaktu bekerja. Masalah sosial juga timbul akibat dari perkara-perkara seperti ini yang kebanyakan mangsanya adalah wanita. Syarat-syarat serta suasana kerja juga ada yang kurang prihatin mengenai keperluan wanita khasnya apabila mereka hamil atau mereka terpaksa menjaga anak-anak yang baru lahir atau yang masih kecil. Keadaan di rumah juga sentiasa merungsingkan hati dan minda mereka yang jarang diambil kira.

Beban sebagai pekerja bagi wanita memang satu perkara besar. Perjuangan kaum wanita khasnya untuk mengurangkan beban ini sudah banyak mencapai kejayaan tetapi kita masih menghadapi cabaran. Semuanya hanya dapat diatasi dan diperbaiki dengan kerjasama semua pihak khasnya wanita sendiri.

Beban 3: Peranan sebagai ahli masyarakat

Mengikut perkembangan semasa, kaum wanita juga dituntut untuk memainkan peranan yang aktif sebagai ahli masyarakat khasnya dalam kerja-kerja kebajikan, memimbing remeja dan membantu membina masyarakat. Ada juga yang terlibat dalam politik, keagamaan serta sukan. Beranika jenis hobi, permainan dan tarikan juga dipromosikan bagi melibatkan kaum wanita sebagai tanda taraf dan kualiti hidup yang mewah.

Semua aktivit-aktiviti ini memerlukan masa, tenaga dan juga wang ringgit. Jikalau ianya tidak diurus dengan bijak penglibatan wanita secara aktif boleh menjejaskan urusan rumah tangga serta tugas-tugas harian. Juga sekiranya wanita tidak melibatkan diri secara aktif sukar bagi mereka mempertengahkan hasrat dan perjuangan mereka. Jadi kita mesti bijak menentukan penglibatan kita dalam hal-hal kemasyarakatan. Sebagai ahli masyarakat kita mesti sentiasa mengutamakan kepentingan masyarakat dahulu dan bukan kepentingan diri.

Cara menangani masalah

Bagi menangani masalah yang dihadapi oleh kaum wanita pada hari ini, beberapa langkah yang efektif perlu dilaksanakan. Ianya penting untuk mengurangkan beban yang ditanggung oleh kaum wanita.

Pertama, corak pembangunan rakan kongsi antara kaum lelaki dan wanita haruslah disemai di dalam diri setiap orang. Corak pembangunan rakan kongsi merupakan asas perjuangan gender. Kaum lelaki dan kaum wanita haruslah dididik, diasuh, dan keupayaan mereka dibina untuk mengurus dan menjayakan institusi kekeluargaan sebagai tanggungjawab bersama.

Ini kerana sekiranya beban hanya diletakkan kepada kaum wanita sahaja tanpa berkongsi dengan kaum lelaki, ini mungkin akan menimbulkan konflik di dalam sesebuah rumah tangga. Tanggungjawab untuk menguruskan keluarga dan rumah tangga bukan hanya menjadi tanggungjawab kaum wanita tetapi turut menjadi tanggungjawab kepada kaum lelaki. Ini akan menjamin satu keluarga yang harmoni dan bahagia.

Kedua, kaum wanita dan kaum lelaki perlu dilatih mengurus rumah tangga bersama. Ini akan terhasil dengan wujudnya satu sistem pendidikan yang baru. Sistem pendidikan yang baru ini amat penting bagi mendidik kaum lelaki supaya dapat membantu isteri mereka dalam menguruskan rumahtangga dan keluarga. Ini dapat mengurangkan beban yang dihadapi oleh kaum wanita.

Ketiga, mewujudkan satu sistem sokongan sosial dan ekonomi yang memberi kemudahan kepada wanita. Ini kerana sistem sokongan di zaman moden ini semakin berkurangan dan pupus ditelan arus pembangunan yang pesat. Sebagai contoh, tugas melahir dan menjaga anak di mana tugas ini memerlukan sokongan daripada pihak suami.

Pihak majikan turut memainkan peranan penting dalam usaha membantu meringankan beban yang dihadapi oleh kaum wanita ini. Sebagai contoh memberi cuti bersalin yang cukup kepada wanita dan juga kepada pihak suami untuk menjaga isteri mereka.

Keempat, mewujudkan sistem sokongan sosial yang boleh membantu suami isteri menjaga dan mendidik anak-anak mereka oleh golongan pakar khas. Pada masa kini, kebanyakkan pusat penjagaan bayi dan pusat penjagaan warga emas dijalankan secara komersial untuk mencari keuntungan. Ini kerana prinsip kemasyarakatan semakin hilang dikalangan masyarakat.

Sebagai salah satu alternatif untuk membantu suami isteri dalam usaha mendidik dan menjaga anak mereka ialah mewujudkan pusat penjagaan kanak-kanak serta warga emas yang diusahakan oleh warga setempat. Ini akan ditanggung oleh warga komuniti itu sendiri.

Kesimpulan

Kini, kita berfungsi dalam keadaan purba iaitu masih pegang kuat kepada sistem patriaki tetapi cuba menjalankan kehidupan yang moden di mana ianya memerlukan sistem sosial rakankongsi. Cabaran bagi mencari keadilan gender adalah bagi menguburkan sistem patriaki di mana kaum lelaki dab wanita diasuh dan dibimbing untuk mempraktikkan amalan sistem rakankongsi. Sistem ini perlu diperluaskan bagi mengganti sistem patriaki yang sudah usang. Kesedaran dan kefahaman ini amat perlu sekiranya kita mahu mewujudkan satu masyarakat adil dalam pembangunan lestari.



 
Banner

Wednesday, 19th June, 2013

Polls

What is the state of women's voice today?