The Penita Initiative

  • Increase font size
  • Default font size
  • Decrease font size
Home > Pembangunan Insan

Pembangunan Insan

E-mail Print PDF

Menggerakkan Pembaharuan Ini Demi Kepentingan Bersama

Pembangunan merupakan pengukur kejayaan sebuah Negara. Usaha pembangunan memerlukan beberapa input supaya proses pembangunan itu lancar dan mencapai matlamat yang diingini. Antara input terpenting dalam pembangunan adalah input manusia. Tenaga manusia penting kerana manusia adalah penggerak pembangunan.

Oleh itu, sebagai rakyat bertanggungjawab, kita mesti memastikan diri kita mempunyai keupayaan untuk melihat, memahami, cepat bertindak dan menghadapi segala keadaan yang akan kita tempuhi dalam mengusahakan pembangunan Negara. Inilah kefahaman yang menggambarkan pembangunan yang melibatkan semua orang. Meskipun tindakan seseorang itu hanyalah mengusaha sebuah perniagaan kecil namun ada sumbangan langsung terhadap pembangunan Negara.

"Kekuatan tenaga insan bermakna kekuatan tenaga kerja yang melibatkan semua lapisan dan semua sektor sama ada peringkat kepimpinan, peringkat pengurusan, peringkat kakitangan...semua. Dengan cara ini sahajalah kita dapat menjadikan bangsa kita mempunyai kemampuan dan keupayaan untuk bersaing, dan negara yang kita sama-sama bina juga akan menjadi negara yang maju, yang mampu menghadapi saingan," kata YAB Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi. Perdana Menteri Malaysia selepas merasmikan kursus kepimpinan Kelab Umno Luar Negara 15 Julai 2006

Cabaran globalisasi

Dunia kini berciri global. Pembaharuan berlaku dalam sekelip mata. Masa kini juga mempunyai dimensi baru. Perkembangan dalam teknologi maklumat membolehkan berita dan informasi bergerak dengan sepintas lalu. Semua ini memerlukan keupayaan serta jatidiri individu yang kuat supaya setiap perubahan dan pembaharuan ini dapat digunakan dengan baik. Sekiranya kita memerhati perubahan yang berlaku kebanyakannya lebih menekankan peluang membuat memperolehi kekayaan.

Penekanan kepada peluang keuntungan yang luas ini sebenarnya tidak lestari dan mendorong pembangunan mampan. Kita perlu bergerak dari bersikap materialistik kepada lebih bersikap humanistik dengan berpegang teguh kepada realiti serta nilai murni. Nilai-nilai murni ini bukan sahaja dari segi perwatakan tetapi juga kepada alam sekitar kita.

Ibarat dunia ini sepohon pokok, sekiranya ada bahagian pokok dilanda kerosakan maka seluruh pokok akan mudarat. Dengan ini sekiranya pembangunan insan adalah berat kepada materialisma maka impak ini akan kelihatan. Antara contoh yang ketara adalah masalah minyak yang kita hadapi. Harga minyak kian melambung kerana sumber minyak kian berkurangan. Masyarakat pula kian hari kian bergantung kepada kereta persendirian. Dengan ini, masyarakat juga menghadapi masalah jerebu dan pencemaran.

Oleh itu, setiap proses kehidupan adalah saling berkait. Pembangunan insan perlu menekankan perkaitan ini dan realiti ini.

Dengan cara ini sahaja kita boleh memainkan peranan dan tanggungjawab kita dalam planet Bumi yang kita hidup ini. Bumi ini merupakan rumah kepada kita untuk bergiat. Oleh itu cabaran globalisasi adalah dalam kita memahami bagaimana tindakan kita dalam negara kita boleh membawa impak kepada keupayaan dunia ini untuk berfungsi dengan baik. Ianya jauh penting daripada pemikiran eksplotasi yang memikirkan keuntungan.

Dalam konteks ini sebagai rakyat kita perlu berfikir dan bertindak untuk memastikan pembangunan kita ini mampan dan lestari. Inilah nilai dan realiti yang mempengaruhi keadaan kehidupan kita.

Integrasi gender

Dalam konteks ini, integrasi gender dan perhubungan gender memainkan peranan penting. Ini kerana setiap insan memainkan peranan unik. Wanita mempunyai keperluan dan memainkan peranan lain daripada kaum lelaki. Dengan ini setiap wanita dan lelaki membawa sumbangan berlainan dalam proses pembangunan.

Malangnya dengan penyusunan masyarakat ianya masih berdasarkan sistem patriaki. Ini dilihat daripada cara sistem ekonomi, sistem politik keluarga, sistem politik masyarakat serta sistem sosial telah dipertanggungjawabkan kepada kaum lelaki. Kaum lelaki diberi kuasa untuk membuat keputusan dalam segala perkara termasuk perihal kekeluargaan dan kemasyarakatan. Dalam sistem patriaki, kaum wanita hanya mengikut dan membantu pihak lelaki. Inilah resam sistem patriaki.

Dengan ini proses pembangunan insan tidak berlaku secara seimbang dan adil. Malah sekiranya kita menghayati pembangunan insan sering dianggap sebagai modal insan di mana insan adalah modal untuk mencapai keuntungan.

Lantas, manusia diterima sebagai input untuk mencapai keuntungan. Inilah dikenali sebagai sistem ekonomi moden ala-kapitalis juga dicorakkan berdasarkan sistem patriaki. Dalam era revolusi perindustrian, tenaga kerja amat diperlukan. Di sini kaum wanita dibawa bekerja di kilang-kilang. Selain itu, tenaga kerja wanita pada hari ini juga sangat-sangat diperlukan dalam memajukan ekonomi negara.

Oleh kerana keperluan ini, semakin hari semakin ramai kaum wanita didorong dan dididik untuk membina keupayaan diri. Malangnya keupayaan ini hanyalah bagi memenuhi keperluan pasaran kerja dan bukan pembangunan insan. Sungguhpun pada dasarnya, keadaan ini memberi kaum wanita kebebasan pendidikan dan kuasa ekonomi, malangnya ianya masih tertakluk kepada sistem patriaki dengan ciri dominasi lelaki dan eksploitasi.

Sekiranya kaum lelaki tidak adil dalam perlaksanaan tanggungjawab, maka timbul keadaan di mana wanita ditindas serta didiskriminasikan di tempat kerja. Ini kini satu fenoma kehidupan moden. Maka tidak hairanlah kita membaca berita mengenai masalah gangguan seksual di tempat kerja, diskriminasi kerja atau jawatan dan juga masalah gaji yang dibayar. Malangnya mengikut tinjauan PENITA, perkara-perkara ini dianggap serta diterima sebagai satu kebiasaan dan lumrah kehidupan hari ini.

Namun, semua penglibatan ini samada dari segi ekonomi melalui pekerjaan maupun komuniti dengan penglibatan sosial memerlukan masa dan tenaga. Keadaan ini menambahkan beban bagi kaum wanita kerana perlu mengurus rumah, kerjaya dan juga penglibatan dalam masyarakat. Beban ini timbul kerana walaupun masyarakat mara ke arah modenisasi, pengagihan tugas masih berdasarkan sistem patriaki.

Masyarakat tidak dididik untuk menjadi sensitif gender. Dengan ini, kaum lelaki tidak didorong membantu isteri kerana masalah status berdasarkan pengagihan tugas sistem patriaki. Kerja-kerja rumah dan pengurusan keluarga ditinggalkan sebagai tanggungjawab wanita. Pihak lelaki hanya membekalkan keperluan seperti kewangan dan tempat tinggal. Oleh itu sampai hari ini kita melihat bagaimana wanita tidak kira berpendidikan tinggi atau tidak, masih dibelenggu persepsi dan ideologi ini.

Anjakan pradigma

Sememangnya dalam keinginan negara ingin mencapai Wawasan 2020, satu anjakan besar perlu wujud. Anjakan ini perlu digerakkan dari akar umbi lagi dan dari umur yang kecil. Disinilah pentingnya pendidikan. Menerusi pendidikan yang tersusun dan mendorong pemikiran pembangunan insan dapat dimantapkan.

Pendidikan ini perlu mencapai tiga perkara:

(i) pendidikan bercorak lebih ekologi,

(ii) pendidikan yang sensitif gender dan

(iii) pendidikan yang membina keupayaan diri.

Pendidikan secara menyeluruh melambangkan komitment demi membina pembangunan, potensi, keperibadian dan keupayaan untuk berjaya dalam kehidupan. Mutu pendidikan dan mutu tenaga pengajar mencerminkan komitment secara kolektif dalam usaha pembangunan individu dan insan.

Masyarakat perlu sedar bahawa anjakan dalam melaksanakan RMK-9 bukan menekan kepada infra-struktur ataupun sumber tenaga secara murah. Anjakan ini lebih besar dan memerlukan kesanggupan untuk membina keupayaan intelek dan inovasi.. Inilah yang sering dilaungkan oleh pucuk kepimpinan Negara.

Sepanjang 50 Tanah Melayu mencapai kemerdekaan dan sepanjang 42 tahun penubuhan Malaysia, penumpuan adalah kepada penyediaan sistem pendidikan dan dilakukan dengan baik demi mencapai aspirasi Negara.

Masyarakat perlu peka dan memastikan pendidikan yang digubal tidak disasarkan untuk keperluan industri sahaja. Generasi muda tidak dididik semata-mata memenuhi keperluan pasaran demi mencari keuntungan bagi segolongan kecil. Generasi muda negara perlu dipupuk untuk membina keupayaan intelek dan potensi untuk bersaing dan hidup secara humanistik mementingkan keseimbangan ekologi.

Malah Wawasan 2020 menyatakan “Rakyat akan menikmati kehidupan yang sempurna dalam satu masyarakat yang demokratik, bertoleransi, bermoral, adil, mampu bersaing, dinamik dan mempunyai daya ketahanan yang tinggi.”

Ini bermakna penekanan pendidikan perlu memupuk pembangunan insan secara sempurna. Ianya bukan sahaja untuk meningkatkan daya saingan kita menerusi pencapaian akademik tetapi juga pembangunan masyarakat yang harmoni. Situasi ini amat penting dihayati kerana tanpa keadaan stabil, Negara tidak akan boleh bersaing dengan baik.

Suasana harmonis ini dilihat dari segi kesefahaman sesama kaum dan juga kesefahaman dengan alam sekitar. Malah kesefahaman sesama kaum merupakan kunci kepada usaha membina maufakat bersikap mesra alam.

Oleh itu, integrasi dan kefahaman sesama kaum perlu dipupuk menjadi satu budaya. Malah dalam YAB Perdana Menteri kita Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi menyatakan bahawa “ menjadi satu kebimbangan, di mana sekolah menjadi lebih monokaum dengan jumlah pendaftaran pelajar bukan Melayu di sekolah kebangsaan semakin menurun…Saya percaya, bahawa dalam usaha menjadikan Malaysia lebih cemerlang, kita hendaklah memahami antara satu sama lain. Kita mesti mengakui akan persamaan kita dan bersyukur dengan perbezaan serta kekuatan kita.”

Ini adalah nasihat yang amat perlu didengar kerana potensi Negara adalah dalam generasi muda kita. Semangat dan keupayaan untuk cemerlang dibina dari bangku sekolah lagi. Dalam menjamin perpaduan dan integrasi kaum di sekolah, Perdana Menteri menasihatkan bahawa “Kita juga perlu memastikan agar guru-guru lebih peka dan berkesedaran terhadap tuntutan dan sensitiviti masyarakat berbilang kaum.”

Di sini kita lihat betapa pentingnya peranan tenaga pengajar bukan sahaja mendidikan tetapi mendidik sambil menunjukkan teladan. Teladan mencerminkan sikap diri berdisiplin, berilmu, bertoleransi dan berkomited dalam segala usaha.

Bukan ini sahaja, dalam abad ini pembangunan dan masa depan amat bergantung kepada cara kita memahami peranan kita dalam alam sekitar. Pendidikan perlu menekankan kefahaman ini yang asas kepada perhubungan manusia dan alam. Institusi pendidikan perlu faham peranan mereka bukan sebagai pusat latihan pekerja bagi usaha mengeksploitasi sumber alam tetapi sebagai pengantara memupuk kefahaman bercorak ekologi. Ini penting kerana planet bumi ini membekalkan asas keperluan kehidupan manusia. Dengan ini anjakan perlu supaya kita dapat berfikir dan berusaha bagaimana kita boleh membangun dengan cara yang lebih lestari dalam masa hadapan.

Kepimpinan

Bagi usaha ini berjaya masyarakat perlu memahami bahawa setiap satu di antara kita mempunyai daya kepimpinan. Kepimpinan ini adalah demi menambahkan nilai diri dan pengetahuan.


Kita perlu bergerak dari bersikap materialistik kepada lebih bersikap humanistik dengan berpegang teguh kepada realiti serta nilai mesra alam. Integriti kehidupan berkait rapat dengan kefahaman ini.


Oleh itu cabaran dalam usaha membangun keupayaan insan adalah jauh lebih daripada membangun modal insan. Kita perlu peka dan memahami bagaimana tindakan kita dalam menerajui pembangunan negara boleh membawa impak kepada keupayaan dunia ini untuk berfungsi dengan baik yang juga akan mempengaruhi kualiti hidup kita sendiri. Ibarat satu bulatan.




 
Banner

Quote of the Day

Because I'm a woman, I must make unusual efforts to succeed. If I fail, no one will say, "She doesn't have what it takes." They will say, "Women don't have what it takes."


Clare Boothe Luce


Home > Pembangunan Insan

Tuesday, 30th September, 2014

Polls

What is the state of women's voice today?
 

Leadership Workshop