Pelopor anti-pestisida negara
Dalam kehidupan seseorang akan wujud beberapa idola yang mempengaruhi haluan hidup mereka. PENITA kali ini memaparkan seorang lagi Sri Kandi negara yang secara diam-diam berusaha memperjuangkan isu pestisida dan wanita dalam pertanian. Semua ini diharapkan membawa kepada corak pertanian yang lebih selamat dan kehidupan lestari.
Diam-diam ubi berisi - orangnya kuat pendirian serta gigih memperjuangkan isu pestisida dan alam sekitar. Puan Sarojeni Rengam merupakan pelopor anti pestisida Negara.
Mengenali diri
Puan Sarojeni merupakan Pengarah Eksekutif Pesticides Action Network Asia and the Pacific (PANAP) sebuah organisasi jaringan sedunia. PANAP memperjuangkan eradikasi permasalahan akibat penggunaan pestisida dan mempromosikan pertanian lestari dan lebih mersa ekologi. Puan Sarojeni lebih cenderung dalam kerja-kerja memperjuangkan kesaksamaan gender, penglibatan serta pengiktirafan wanita dalam pertanian, kedaulatan pemakanan, pergerakan anti globalisasi dan juga pemantauan komuniti terhadap isu pestisida.
Tugas beliau melihat beliau bersama pakar-pakar membentuk modul, melaksanakan latihan dan juga kajian dalam isu-isu ini. Selama 20 tahun bersama PANAP, beliau telah gigih berusaha dan membina PANAP sehingga menjadi sebuah organisasi yang ulung dan disegani bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di seluruh dunia.
Faktor pemangkin
Dalam tinjauan PENITA, ramai pelopor negara telah didorong oleh sesuatu peristiwa dalam kehidupan mereka. Pendedahan ini merupakan asas kepada pembentukan semangat kemasyarakatan mereka. Apakah faktor yang mendorong Puan Sarojeni? Menurut beliau, zaman Universiti telah banyak menyedarkan beliau. Waktu belajar di luar negara di India, telah meningkatkan kesedaran beliau mengenai isu-isu alam sekitar dan hak pekerja. Kesedaran ini telah membentukkan tekad beliau untuk bekerja dengan pertubuhan yang bercorak sosial dan memperjuangkan keadilan sosial.
Walaupun beliau merupakan seorang zoologis, beliau telah mencuba nasib bekerja dengan Pertubuhan Pengguna Sedunia (International Organization of Consumers Union- IOCU)
Bermula tahun 1982, Puan Sarojeni telah berkecimpung dalam isu-isu keadilan sosial sehingga menjadi Penyelaras untuk isu pestisida. Antara tugas beliau adalah mendokumentasikan FAO CODE atau Kod Pertubuhan Pemakanan Dan Pertanian Sedunia (FAO) bersama Puan Josie Fernandez. Penglibatan ini membawa kesan mendalam bagi Puan Sarojeni kerana beliau melihat tahap pendedahan pekerja ladang yang begitu ketara sehinggakan kehidupan mereka penuh sengsara dan ada yang mati akibat keracunan.
Perjuangan pestisida
Isu-isu serta ketidakadilan yang berlaku kepada mereka yang lemah dan kurang upaya bersuara mendorong Puan Sarojeni gigih berusaha bersama rakan-rakan seperjuangan beliau. Antara perjuangan awal adalah dalam kempen sedunia terhadap Prior Informed Consent (PIC) atau proses memohon kebenaran sebelum penggunaan pestisida. Malah kempen ini amat berjaya dan telah dimasukkan ke dalam perbincangan Persidangan Alam Sekitar dan Pembangunan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNCED) di Rio pada 1992. Namun perjuangan dalam Negara memakan masa 18 tahun dan bersama tekanan beberapa pertubuhan lain, pada 2004 Kerajaan telah meraktifikasikan perkara ini.
Puan Sarojeni dalam memimpin PANAP banyak melakukan latihan serta bengkel dalam negara dan luar negara dalam pelbagai isu demi meningkatkan kesedaran mengenai ancaman penggunaan pesticida kepada masyarakat, pekerja, alam sekitar dan juga generasi akan datang.
Pencapaian beliau di persada antarabangsa melihat beliau dilantik ke dalam pelbagai posisi seperti ahli Lembaga Pengarah Southeast Asian Regional Institute for Community Education di Filipina, ahli Lembaga Rural Advancement Fund International, Kanada . Beliau kini dilantik Timbalan Pengerusi Asia Pacific Research Network, Manila.
Berkempen dan meningkatkan kesedaran juga beliau lakukan secara bertulis dengan penerbitan beberapa markalah dan buku-buku. Di antaranya adalah buku panduan Pestisida dan Anda yang kini telah diterjemahkan ke dalam 10 bahasa, penulis bersama Problem Pesticides, Pesticides Problem dan editor Forging our Future: Women in Agriculture.
Karavan rakyat bersejarah
Sejarah telah dicipta dengan penganjuran Karavan Rakyat. Ini kerana julung kali satu tindakan besar dijalankan. PANAP dalam memperjuangkan isu kedaulatan pemakanan dan kesedaran kesan buruk pestisida telah menjalankan "People's Caravan for Food Sovereignty" yang melibatkan sejuta orang daripada lebih 500 organisasi di 13 negara di Asian dan 3 di Eropah dalam masa 30 hari secara serentak.
Dalam satu suara, masyarakat di peringkat akar umbi telah ketengahkan hak kepada : tanah, makanan, sumber pengeluaran makanan secara berekologi dan kuasa untuk menentukan polisi pertanian dan pemakanan mereka.
Menurut Puan Sarojeni pengalaman ini merupakan satu pengalaman yang menakjubkan kerana begitu ramai petani dan masyarakat bersama menerajui isu kedaulatan pemakanan.
Di Malaysia, sebanyak RM293juta dibelanjakan untuk pestisida setiap tahun.
Perjuangan wanita
Bagi Puan Sarojeni, isu gender dan penglibatan wanita adalah dekat di hati. Selama 10 tahun bekerja dengan wanita di akar umbi terutamanya wanita yang terlibat dalam proses pertanian banyak membuka mata beliau kepada isu gender dan realiti dalam komuniti.
Perjuangan wanita dalam isu pestisida merupakan satu perjuangan yang begitu menakjubkan.Ini kerana ramai wanita yang bekerja di ladang-ladang kebiasaanya tidak bersuara dan berdiam-diri kerana belenggu kemiskinan, kurang akses kepada informasi dan halangan berbentuk patriaki.
Menurut Puan Sarojeni, permasaalahan kesihatan dan alam sekitar akibat penggunaan pestisida banyak didokumentasikan. Dianggarkan bahawa 25 juta pekerja setahun mengalami keracunan pestisida. Pekerja ladang dan petani terdedah kepada ancaman pestisida secara langsung dalam aktiviti penyemburan dan pembancuhan racun pestisida. Malah komuniti tidak terhindar daripada ancaman ini dengan pencemaran ke atas tanah, air dan udara yang berlanjutan dan secara perlahan.
Malah melalui kajian keatas pekerja ladang wanita dari beberapa ladang di dalam negara menunjukkan beberapa isu kritikal. Menurut Puan Sarojeni, kajian ini dilakukan ini menunjukkan kebanyakan pekerja ladang wanita adalah keturunan India dan dibayar gaji purata RM14.6 sebulan. Simtom seperti keletihan, sakit belakang, kesukaran bernafas, masalah kulit, masalah mata dan beberapa masalah kesihatan kronik telah didokumentasikan dalam kajian ini. Walaupun kajian ini yang dijalankan sejak 1991 hanyalah satu permulaan dengan kerjasama Universiti Sain Malaysia khususnya Pusat Racun Negara, ia banyak mendedahkan kemudaratan pestisida ke atas wanita.Seramai 30,000 pekerja ladang wanita dianggarkan menyembur pestisida hampir harian di Malaysia. Mereka seringkali mengalami masalah kesihatan dan tanpa kemahiran lain, mereka tiada harapan selain bekerja sebegini. Wanita-wanita ini seringkali dalam ketakutan tiada tempat tinggal dan mata pencarian.
Malah mengikut Puan Sarojeni apa yang mengkhuatirkan adalah bahawa sekarang ada kajian terbaru yang menunjukkan bahawa sesetengah pestisida dan bahan kimia dalam alam sekitar meniru hormon semulajadi dan ini kemungkinan besar membawa situasi yang merbahaya dan memudaratkan bukan sahaja kepada anggota badan kita tetapi sistem endicrine. Kajian menunjukkan keadaan dimana sperma lelaki turun dan juga peningkatan kanser payudara bagi wanita. Kehadiran hormon tipu ini juga mejejaskan sistem imun pada badan.
Perjuangan bagi wanita ini penting kerana isu ini sering tidak diterajui oleh pertubuhan wanita. Menurut Puan Sarojeni, pertubuhan wanita berpusat di ibukota seringkali melihat isu-isu kehidupan kota. Namun, pengeluaran makanan, keracunan pestisida, akses kepada tanah dan sumber serta teknologi merupakan isu yang mempengaruni kehidupan wnaita di desa. Ini jarang menjadi agenda Pertubuhan-pertubuhan Wanita. Perkara ini perlu ditukar dan diubahkan. Ini kerana wanita di desa, petani wanita dan pekerja pertanian kian hari kian dipinggirkan dalam masyarakat. Situasi ini membebankan mereka dan juga menjerak mereka ke dalam kancah kemiskinan. Inilah jelas Puan Sarojeni proses “feminization of poverty” . Perkara ini menurut Puan Sarojeni amat ketara di negara-negara Asia.
“Isu ini lebih daripada itu,ianya sebenarnya menyentuh hak untuk hidup dan hak kepada makanan.” ujar Puan Sarojeni dalam perbincangan dengan PENITA. Inilah realiti dan kesedaran kepada kepentingan hak asasi manusia yang begitu mendalam dalam perjuangan wanita dalam pestisida ini.
Strategi tindakan
Puan Sarojeni telah berkongsi strategi tindakan perjuangan pestisida. Menurut beliay, di antara tahun 1991 sehingga 1995, lebih 2,500 petani dan pekerja ladang, kebanyakannya wanita telah ditemuduga demi melihat impak penggunaan pestisida. Kajian ini telah dilakukan di Indonesia, Malaysia, Korea, Sri Lanka, Pakistan, Filipina dan India menunjukkan betapa pentingnya isu ini. Malah ia mendedahkan keadaan ketiadaan suara petani dan pekerja ladang terutamanya wanita.
Kajian menunjukkan bahawa :
Ramai petani dan pekerja peladang wanita menyembur pestisida atau terdedah secara langsung kepada pestisida dalam pekerjaan mereka.
Ramai tidak tahu maupun sedar kesan pestisida ke atas diri mereka.
Kebanyakan tidak menggunakan pakaian bagi melindungi diri kerana tidak sesuai untuk kerja dan cuaca.
Ramai mengalami masalah kesihatan akibat keracunan pestisida
Wanita masih bekerja ketika mengandung dan menyusu anak.Ini mendedahkan anak-anak dan kandungan kepada keracunan pestisida.
Bagi mendidik dan memantau keadaan ini, Puan Sarojeni berkongsi dan menyatakan baawa PANAP telah membentuk satu kit pemantauan komuniti yang dipanggil C-PAK (Community Pesticide Action Kit. Dengan ini pemantauan dapat dibuat dan secara langsung kesedaran juga meningkat di kalangan komuniti petani.
Selain itu, corak pertanian lebih mesra alam dan manusia juga dipromosikan.Pertanian secara berekologi dan organik dipromosi dan didemonstrasikan demi kesejahteraan dan keselamatan semua
Tindakan bersama
Setiap lelaki dan wanita bertanggungjawab menentukan keselamatan keluarga dan pemakanan keluarga dan pekerja wanita dan petani adalah sumber terpenting dalam rangkaian produksi makanan. Kuasa pengguna amatlah berharga dan penting. Sekiranya pengguna menuntut makanan ditanam secara organik dan selamat, ianya akan selamat.
Dengan ini, isu pestisida adalah isu bersama dan perlu perhatian semua. Inilah hasrat PANAP dan Puan Sarojeni supaya semua sedar akan akibat tindakan mereka dan kuasa pengguna mereka.





