Ibu Mithali sumber ilham dan teladan generasi muda masakini
Usaha PENITA dalam mencari seorang wanita yang banyak berjasa serta yang banyak memberi inspirasi dan ajaran kepada generasi muda telah membawa kami ke pintu Persatuan Pure Life. Mother Mangalam merupakan seorang role model dan segala keistimewaannya perlu diteladani.Tiga perkara yang amat ketara dalam kehidupan wanita Mithali ini adalah kegigihan beliau yang tidak kenal penat maupun berputus-asa, semangat dedikasi beliau dan kesucian keperibadian Mother.
Seorang wanita akan digelar ibu setelah melahirkan anak. Keistimewaan seorang wanita sememangnya terletak kepada sifat keibuan beliau. Biarpun sukar dilaksanakan, namun seorang ibu akan sanggup melakukan segalanya demi masa depan anak-anaknya tanpa inginkan balasan. Begitu besar dan murni tugas seorang ibu yang mengasuh, mendidik dan memastikan anak-anaknya membesar dengan sempurna. Bagaimana dengan seorang wanita yang menjaga dan mengasuh 2000 orang anak yang bukan satu kelahirannya?
Kasih sayang dilimpahkan dan asuhan diberi tanpa mengira bangsa dan agama. Sifat yang murni ini merupakan perkara yang amat disanjungi oleh semua yang mengenali Mother Mangalam. Gelaran “Mother” sesuai mencerminkan kesucian jiwa beliau serta sifat keibuan beliau.
Mother Mangalam adalah sinonim dengan Persatuan Pure Life. Beliau menjadi Presiden Persatuan selepas pengasas Persatuan Pure Life Swami Satyananda meninggal dunia pada 1961. Ketika itu, Mother Mangalam yang lebih dikenali sebagai Sister Mangalam hanya berumur 35 tahun. Kegigihan beliau memperjuangkan hak serta kebajikan mereka yang tersisir daripada masyarakat serta membangunkan Persatuan Pure Life menjadi teladan. Ianya melambangkan kesetiaan seorang anak murid kepada gurunya yang melanjutkan usaha membantu golongan yang kurang berupaya tanpa berputus asa.
Pembentukan keperibadian
Beliau lahir pada 17hb Mei 1926 di kota Singapura. Beliau merupakan anak sulung di antara 7 orang adik-beradik dan dididik mengikuti agama Hindu oleh datuknya. Datuknya akan membawa beliau ke kuil setiap hari jumaat, sebarang kegagalan tidak akan diampuni. Bapanya pula telah menganuti agama Katholik secara diam-diam. Setiap hari Ahad atas alasan hendak ke pasar, beliau akan dibawa oleh bapanya ke gereja. Beliau telah diberi nama Teresa oleh Padri di gereja. Maka sejak dari awal kedua-dua agama Hindu dan Kristian telah mempengaruhi kehidupan Mother.
Mother Mangalam sememangnya seorang pemurah hati. Beliau memang suka bersedekah. Sewaktu kecil ketika perayaan Hari Natal, bapanya akan membeli hadiah untuk dihadiahkan kepada kanak-kanak miskin dan tidak berkemampuan. Sifat ini sememangnya wujud sehingga hari ini dan menjadi teladan anak-anak di Asrama Persatuan.
Ketika beliau berumur 9 tahun, beliau telah mengikuti kelas agama yang diajar oleh Swami Satyanana di Pusat Ramakrishna di Singapura. Pengajaran serta bimbingan agama oleh Swamiji telah mendorong Mother Mangalam menjadi anak murid Swami Satyananda.
Siapakah Swami Satyananda?
Swami Satyananda telah dilahirkan pada 15 Julai di Ipoh, Perak dan menjadi yatim piatu ketika berumur 10 tahun. Beliau dibesarkan oleh Pakciknya En. Muthiah yang juga merupakan pereka mesin menaip tamil bersama-sama dua orang kakaknya. Setelah melaksanakan tanggungjawab terhadap kedua kakaknya dengan mengahwini mereka, beliau memasuki Pergerakan Ramakrishna untuk menjadi seorang sami. Namun begitu beliau terpaksa memilih antara menjadi sami ataupun menjalankan kerja-kerja kebajikan. Beliau memilih kerja kebajikan dan meninggalkan Pergerakan Ramakrishna. Sewaktu menjalankan kerja-kerja kebajikan secara sukarela, beliau telah bertemu dengan Yogi Shuddhananda Bharathi yang setelah 25 tahun membisu memecah puasa beliau dan mengurniakan Swamiji kain kuning lambang seorang sami.
Nasihat Swamiji
Sewaktu muda, Mother berhasrat pergi ke India untuk berkhidmat membantu mereka yang miskin dan golongan tidak berupaya. Swamiji telah memujuk beliau supaya jangan meninggalkan keluarganya kerana beliau ada tanggungjawab terhadap keluarga yang masih perlu dilaksanakan. Beliau juga menggalakkan Mother untuk melanjutkan pelajarannya dan habis Sijil Persekolahan Cambridge.
Selepas Perang Dunia Kedua, keluarga Mother benar-benar memerlukan bantuan dan sokongan daripada beliau. Atas tanggungjawab ini, beliau telah menghijrah ke Tahan Melayu untuk menjadi seorang guru pada 1948. Hanya pada 1977 beliau bersara dari professional perguruan sewaktu beliau berkhidmat sebagai guru besar di Sekolah Rendah Kebangsaan dan Menengah Rendah Dharma.
Keadaan Tanah Melayu ketika itu yang sungul kesan pendudukan Jepun amat menyayat hati Swamiji dan Mother. Swamiji dalam usaha membantu membina kehidupan baru bagi mangsa-mangsa perang telah menggalakkan pengikutnya memeluk satu prinsip utama iaitu :-
`…. bahawa kita perlu belajar melihat sesama sendiri tanpa mengambilkira agama, bangsa serta warna kulit dan menyebarkan prinsip ini dengan penuh kasih sayang melalui kerja kebajikan dan bukan setakat kata-kata.’
Sifat pemurah hati
“Saya aktif dalam kerja-kerja kebajikan walaupun saya mengajar dan kita selalu pergi ke pusat kusta dan Serendah Boy’s Home. Selepas peperangan begitu ramai anak-anak yang hilang ibubapa dan sanak saudara. Kami akan cuba mencari keluarga baru bagi mereka. Semestinya kami melihat perkembangan mereka dan kebanyakan akan muram dan sedih. Oleh itu saya mendesak Swamiji untuk menubuhkan satu rumah anak-anak yatim. “Jadi siapa akan menjaga mereka? Kamu? Swamiji akan berkata. Sayapun tidak tahu apa jawapannya ketika itu tetapi saya masih mendesak. Setelah bertapa selama 3 hari, Swamiji merestui cadangan ini. Demikianlah tertubuhnya Persatuan Pure Life,” jelas Mother.
Persatuan Pure Life ditubuhkan untuk memupuk perpaduan dan kefahaman antara agama dan bangsa. Ini jelas dari aktiviti mereka yang melibatkan pelbagai kaum, agama dan bangsa. Perpaduan ini penting untuk menjamin kesejahteraan semua warga dan negara.
Peranan dalam Persatuan Pure Life
Swamiji telah meninggal dunia pada 1961 dan Mother Mangalam memikul tanggungjawab meneruskan usaha murni ini. “Ia memang berlainan daripada menjadi seorang ibu kepada menjalankan satu institusi secara formal,” jelas Mother Mangalam mengenai peranan beliau sebagai Presiden Persatuan.
“Sebagai seorang ibu, saya mahu anak-anak saya membesar berdikari dan berjaya dalam pilihan mereka. Tidak kira apa dilakukan samada sebagai pekebun ataupun ahli profesional. Saya berharap mereka bukan sahaja memajukan diri sendiri tetapi membantu yang lain. apa guna kita mendapatkan pengetahuan sekirannya kita tidak mahu berkongsi sesama kita,” tambah beliau.
Tugas beliau memang berat dipikul. Bukan sahaja keperluan keluarganya sendiri tetapi keluarga baru juga perlu beliau jagai. Ibunya sendiri pernah merayu agar beliau meninggalkan kerjanya di Pure Life kerana tidak tahan melihat penderitaan Mother Mangalam. Sungguhpun keimanannya diuji beliau masih bertahan. Beliau sentiasa berdoa agar diberi kekuatan dan ketenangan untuk menghadapi cabaran ini.
Beliau mengimbas satu saat genting yang pernah beliau hadapi. Beliau menghadapi kebuntuan dari segi kewangan yang beliau tiada penyelesaianya. Beliau bersembahyang dan memohon bantuan daripada Tuhan Yang Maha Esa. Pada hari berikutnya, ibunya tiba-tiba memanggil beliau pulang dengan segera untuk membawanya ke hospital. Apabila beliau tiba, ibunya menunggu di kebun. Ibunya memberitahu bahawa bapanya telah memenangi hadiah pertama dalam loteri dan mereka ingin berikan wang tersebut kepadanya untuk membantu masalah kewangan beliau di Persatuan Pure Life. “Walaupun saya tidak mengambil keseluruhan wang tersebut dan hanya mengambil sedikit sahaja setakat keperluan, saya terasa lega,” katanya.
Tahun demi tahun yang berlalu, kanak-kanak juga bertambah. Bangunan –bangunan baru dibina. Pada 1980 Persatuan hanya memiliki RM500 dalam bank. Dengan bantuan dan sokongan orang ramai, keadaan sudah pulih berkat kegigihan dan kepercayaan Mother Mangalam, Persatuan Pure Life begitu aktif membantu mereka yang kurang mampu dan daif.
“Tugas menjalankan rumah kebajikan merupakan satu kerja sepenuh masa dan pelbagai cabaran Naum demikian, setiap anak yang diletakkan dalam jagaan perlu dilayan dengan penuh kasih sayang dan dibenarkan membesar pada kadar kemampuan beliau. Pembantu-pembantu yang membantu mengendalikan mereka perlu memiliki kematangan dalam pengurusan anak-anak ini. Kadang-kala kami menghadapi masalah mendapatkan pembantu yang sesuai,” jelas Mother.
“Hidup saya hanyalah untuk anak-anak saya. Saya terasa kecewa sekiranya tahu mereka tidak berjaya mencapai potensi mereka sepenuhnya. Saya bersyukur apabila tahu mereka berjaya,” tambah Mother.
Penghargaan kepada jasa dan sumbangan Mother
Pelbagai pingat penghargaan bagi menghargai pengorbanan dan jasa-jasa telah dikurniakan kepada Mother Mangalam oleh beberapa organisasi dan pihak kerajaan sendiri. Penghargaan yang terbaru adalah pingat Kesatria Mangku Negara (KMN) daripada DYMM Yang DiPertuan Agung XII Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Al-Marhum Tuanku Syed Putra Jamallulail sempena sambutan ulang tahun keputeraan DYMM.
Penutup tirai - nasihat kepada wanita muda hari ini
“Wanita hari ini mempunyai pelbagai tanggungjawab dari rumah sehingga ke pejabat. Oleh itu, wanita perlu menjaga kesihatan diri dari segi fizikal dan rohani.
Ini kerana di zaman kini beban dipikul sepanjang hayat. Kita tidak boleh mengharapkan anak-anak zaman sekarang akan menjaga ibubapa. Dengan ini wanita harus menjaga badan beliau dari segi mental, fizikal dan kerohanian kerana semuanya terletak kepada dirinya,” nasihati Mother.
Satu cara yang disyorkan adalah untuk mencapai ketenangan adalah mengambil masa untuk duduk diam seketika. “Kita perlu dalam sehari ambil sedikit masa untuk diri kita. Luangkan beberapa minit untuk diri kita sendiri. Ini sudah mencukupi untuk memulihkan tenaga dan memberi ketenangan.”
Cabaran institusi keluarga hari ini
Kedua-dua ibubapa hari ini kebanyakan perlu bekerja. Dengan ini anak-anak tidak mendapat perhatian yang sewajarnya. Anak-anak mencari perhatian di sekolah tetapi malangnya disekolah guru-guru juga tidak dapat menberi perhatian tersebut. Ini kerana guru-guru juga banyak tugas termasuk menghadiri kursus. Jadi anak-anak ini akan melepak untuk mendapat perhatian yang dibelikan oleh buaya-buaya darat yang hanya mengeksploitasikan mereka.
Kegagalan masyarakat?
Kini jiran-jiran juga sibuk dengan urusan sendiri dan tidak mempunyai masa. Bukan kerana mereka tidak mampu membantu walaupun ada hati untuk membantu. Ramai wanita hari ini juga sudah bekerja.
Sekarang pula ada tren wanita muda memasuki dunia politik. Wanita sepatutnya tangguhkan cita-cita politik sehingga berumur 40 tahun setelah mereka menstabilkan hidup mereka dan keluarga mereka. Keluarga patut dipentingkan sebelum diri sendiri.
Apakah pendapat mengenai wanita yang berkeputusan berhenti kerja ataupun kerja separuh masa demi menjaga anak dan rumahtangga?
Wanita-wanita ini bijak. Sekiranya kita pentingkan masa depan anak-anak, kita perlu tumpukan perhatian kepada mereka. Lagipun apa yang dipelajari tidak mungkin bazir. Persoalannya cuma masa. Sekiranya wanita ataupun lelaki inginkan keluarga, keluarga perlu didahulukan. Oleh itu, masyarakat dan kerajaan juga patut menyediakan peluang bagi wanita-wanita ini kembali kepada kerjayanya setelah menguruskan rumahtangga. Kita patut sediakan peluang mereka bekerja dan memasuki alam pekerjaan walaupun sudah berumur 40 tahun ke atas.
Dengan ini keluarga akan bahagia dan generasi muda negara akan menjadi warga berguna. Sememangnya amat besar dan tidak ternilai sumbangan ibu-ibu dan bapa-bapa sepenuh masa ini ke arah pembangunan negara yang mapan.
Bagaimana kita boleh memupuk perpaduan?
Kita sendiri perlu mengawal nafsu kita. Di sana-sini kita boleh lihat orang makan berlebihan, pembaziran dan sebagainya. Perasaan dan nafsu sebegini perlu dikawal sejak dari kecil lagi dan dipimpin melalui teladan. Disinilah peranan ibubapa dalam mengasuh anak mereka. Pokoknya apabila dewasa anak-anak akan pandai menjaga diri dan kelakuan mereka. Memupuk kesefahaman dan sikap bertoleransi bermula dari kecil lagi.
Wanita sebenarnya adalah ratu rumahnya. Ini mungkin tidak dari kekuatan fizikal tetapi keistimewaannya untuk “diam”. Sifat berdiam dalam sesuatu keadaan merupakan salah satu cara terbaik menangani masalah. Wanita perlu bijak dan elakkan diri dari sebarang situasi merbahaya yang akan mengancam keselamatan beliau dan anak-anak. Dia perlu pandai berdiam dan mengekalkan kehalusan perwatakan beliau. Ini kerana selepas keadaan reda, pemikiran seseorang itu akan lebih waras. Ibarat gigi dengan lidah adakalanya tergigit juga.
Sememangnya kelembutan serta budi pekerti seperti yang dibawa oleh Mother perlu kita teladani
Mother A Mangalam ibarat Mother Teresa sememangnya seorang wanita dan ibu mithali yang banyak berjasa dan yang telah mendedikasikan kehidupannya dengan berkhidmat untuk kanak-kanak serta masyarakat tidak kira bangsa dan agama yang memerlukan bantuan, perhatian dan kasih sayang.





