Seorang idola istimewa yang diteladani
Tiga perkara yang amat ketara dalam kehidupan wanita Mithali berusia 81 tahun ini adalah kegigihan beliau yang tidak kenal penat maupun berputus-asa, semangat dedikasi beliau serta kasih seorang ibu yang tidak berbelah bahagi.
Apakah yang mengikat serta mencorak sebuah keluarga? Kasih, persefahaman, kerjasama? Jawapannya kasih seorang ibu yang tidak berbelah bahagi dan tidak pernah pudar. Keadaan ini saya sendiri nikmati ketika menghadiri perasmian autobografi Dato’ Hendon di mana begitu jelas kebanggaan terpapar di airmuka setiap anak-anaknya bersama cucu-cicit beliau seramai 48 orang.
Bukan di sini sahaja keistimewaan beliau membimbing keluarga 13 orang anak beliau, tetapi jasa beliau membimbing begitu ramai anak gadis negara ini khasnya di bawah pergerakan Pandu Puteri. Seperti kata beliau “seorang ibu hanya inginkan yang terbaik bagi anak-anaknya”. Bagi ibu mithali ini bukan sahaja 13 anak-anaknya beliau ingin lihat berjaya tetapi juga gadis-gadis terutamanya dalam pergerakan Pandu Puteri ingin beliau lihat berjaya.
Dato’ Hendon merupakan seorang yang penuh dedikasi . Penita bertanyakan apa rahsia beliau aktif menceburkan diri dalam pelbagai aktiviti dan masih aktif menguruskan perniagaan keluarga. “Saya tak suka membazir masa” jawabnya dengan senyuman. Walaupun usia semakin meningkat, tidak pernah ia dijadikan alasan untuk tidak berkhidmat.
Pembentukan keperibadian
Anak ketiga kepada pasangan Encik Baharudin (Din) dan Puan Adha Mat Zainan dilahirkan pada 10.9.1923 di Parit Buntar, Perak. Kedua ibubapa Dato’ Hendon merupakan dari profession perguruan dan merupakan guru besar sekolah. Oleh itu, tidak hairan bagi kedua-dua ibubapa menitik berat pendidikan. Namun apa yang ketara adalah sikap progresif kedua-dua ibubapa beliau. Encik Din telah menghantar anak-anak perempuannya ke sekolah Inggeris tidak menghiraukan bahawa sekolah itu merupakan sekolah campuran. Di era di mana tidak penting bagi wanita menerima pendidikan. Pegangan masyarakat bahawa wanita hanya duduk di dapur. Tindakan Haji Din ini sudah pasti menggemparkan masyarakat, bukan sahaja masyarakat melayu ketika itu tetapi keseluruhan masyarakat setempat. Sikap progresif Haji Din dan isterinya ini telah membuka kehidupan baru bagi anak-anak mereka. Jelas sikap progresif ini juga wujud dalam keperibadian Dato’ Hendon.
Walaupun bersekolah inggeris, pendidikan agama tidak diabaikan dan bukan satu kompromi bagi Haji Din. Malah pegangan agama ini jelas merupakan kekuatan keperibadian Dato’ Hendon.
Di bangku sekolah Dato’ Hendon telah diperkenalkan kepada Pergerakan Pandu Puteri. Ketika itu, pergerakan Pandu Puteri dipimpin orang warga British. Di sini bakat kepimpinan Dato’ Hendon diasah dan dipupuk. Menurut beliau, ketika itu Pergerakan Pandu Puteri dijalankan dengan sokongan sukarelawan. Di sekolah saya sukarelawan adalah seorang matron dari hospital Ipoh. Kami akan sedia menunggu beliau setiap kali tiba masa menjalankan aktiviti Pandu Puteri.
Dalam menceritakan mengenai keputuan menjadi guru, Dato’ Hendon menyatakan bahawa, “kami tinggal di kampung. Ketika itu kerjaya bagi wanita adalah guru, jururawat ataupun operator telefon. Kalau pilih jururawat, ibu saya takut saya tidak akan tahan melihat orang sakit. Operator telefon pula ada shif malam. Jadi saya pilih jadi guru.”
Oleh itu keputusan menjadi guru dibuat olehnya dan ianya tidaklah menghairankan kerana kedua-dua ibubapanya juga dari profesion perguruan. Dato’ Hendon telah diterima sebagai guru pelatih dan telah berjaya menerima latihan perguruan di Maktab Perguruan Perempuan Melayu Melaka (MWTC – Malay Women Teacher Training College) iaitu instituisi tinggi bagi guru wanita Melayu di zaman itu. Malangnya latihan perguruan beliau terganggu dengan tercetusnya peperangan Dunia Kedua. Walaupun begitu, semangat memperbaiki diri dan kebolehan menggunakan peluang jelas satu keistimewaan yang ada pada diri beliau kerana di zaman pemerintahan Jepun beliau telah belajar bahasa jepun dan menjadi guru bahasa Jepun.
Pendidik berdedikasi
Setelah tamat peperangan, beliau menyambung kembali pendidikan sehingga menyertai profession perguruan. Segala usaha, kegigihan serta dedikasi beliau berbaloi apabila beliau diberi pengiktirafan dan dipilih mengikuti kursus perguruan di Wall Hall Teachers Training College di Watford, United Kingdom.
Pengalaman yang ditimba digunakan untuk memperbaiki keadaan pendidikan di negara. Dari tahun 1941 sehingga 1978 beliau telah berkecimpung dalam profesion perguruan dan memegang pelbagai jawatan dari guru, guru besar dan nazir sekolah-sekolah. Dato’ Hendon amat prihatin dengan pendidikan anak-anak perempuan terutama mereka dari luar bandar. Atas cadangan dan usaha beliau, hostel pelajar perempuan pertama telah dikelolakan oleh Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan. Beliau juga sentiasa menekankan pencapaian akademik kepada murid-murid sekolah di bawah jagaan beliau.
Selain itu, Dato’ Hendon sedar kebaikan pendidikan bukan formal yang dapat diperolehi dari aktiviti ko-kurikulum terutamanya dari pergerakan Pandu Puteri. Maka tidaklah hairan bahawa melalui motivasi serta dedikasi Dato’ Hendon bersama-sama lain-lain guru aktiviti Pergerakan Pandu Puteri telah diperluaskan.
Pergerakan Pandu Puteri sudahpun sebati dalam jiwa beliau. Sememangnya keistimewaan pergerakan ini hanya akan difahami sekiranya anda juga seorang pandu puteri. Dato’ Hendon amat bangga dengan pencapaian pergerakan ini. “Di sinilah gadis-gadis kita mempelajari bagaimana bekerja dalam kumpulan, memimpin dan kreatif dalam mengatasi apa – apa masalah yang timbul.” Beliau dengan bangga menceritakan bagaimana ahli Pandu Puteri dengan kreatif membuat tiga jenis barangan dengan hanya berbekalkan tali. Menurutnya dengan menyempurnakan kerja sebegini keyakinan diri dapat dibina.
Dato’ Hendon telah dilantik menjadi Pesuruhjaya Pandu Puteri Kebangsaan dari tahun 1973 sehingga 1983. Sehingga kini beliau masih melibatkan diri dengan Pergerakan Pandu Puteri. Demi menghargai kegigihan serta dedikasi beliau, pelbagai anugerah beliau perolehi di antaranya Pingat Layang-Layang pada 1978 yang merupakan pingat tertinggi dalam Pergerakan Pandu Puteri.
Lantas dapatlah kita fahami mengapa Dato Hendon berpendirian bahawa pendidikan merupakan asas kehidupan yang cemerlang. Oleh itu tidaklah hairan pada 1978 juga beliau dianugerahkan Tokoh Guru bagi sumbangan beliau membangunkan sistem pendidikan negara.
Persefahaman serta sokongan suami dan keluarga
Pasangan Hendon-Zahari ini telah berkahwin pada 25 Disember 1925. Pasangan ini telah bertemu di London ketika kedua-duanya sedang belajar di sana. Zahari bin Hassan merupakan seorang duda dengan 8 orang anak dari perkahwinan pertama beliau. Pasangan Hendon-Zahari ini juga dikurniakan dengan 5 orang anak menjadikan kesemuanya 13 orang. Berkat asuhan dan didikan mereka, kesemua anak-anak telah mendapat ijazah tinggi dari universiti-universiti dari luar negara. Ketika bertanyakan apakah perasaan belia menjadi ibu tiri beliau hanya menjawab, “saya terfikir anak-anak ini perlukan ibu, kenapa tidak saya.”
Perbualan dengan Dato’ Hendon jelas menunjukkan bahawa segala keputusannya pendidikan anak sehingga kerja-kerja sukarela beliau termasuk penglibatannya dalam pergerakan Pandu Puteri dibuat bersama En. Zahari. Persefahaman serta sokongan suami kesayangan beliau ini amat penting baginya.
Beliau tersenyum mengingatkan bagaimana arwah suaminya memperkenalkan anak-anak mengikut nombor dan bukan nama. “Dia akan perkenalkan ini no 1, no. 2 dan seterusnya.”
Dato’ Hendon begitu bangga akan pencapaian anak-anaknya. Beliau begitu bangga salah satu anak perempuan beliau kini dilantik menjadi seorang Hakim MahkamahTinggi dan seorang lagi sebagai Chief Exeutve Officer (CEO) Rashid Hussain Securities Berhad. Juga anak-anak lain yang berjaya dalam kerjaya masing-masing seperti Arkitek, Pengarah Urusan dan Eksekutif syarikat. “Sebagai ibu, kita perlu mendidik anak-anak untuk bersopan-santun, sekiranya kita tidak benarkan mereka melalukan sesuatu beritahu sebabnya,” nasihat beliau kepada ibu-ibu muda.
Namun apa yang dapat diperhatikan Dato’ Hendon merupakan idola kepada anak-anaknya kerana sifat berdisiplin, tekun, gigih, tidak suka membazir masa dan kasih sayangnya yang tidak berbelah bahagi. Beliau berjaya mewujudkan satu keadaan dimana anak-anak sentiasa didorong untuk mencapai kecemerlangan. Ini juga mungkin kerana beliau sentiasa berusaha mencapai kecemerlangan dalam apa juga yang beliau lakukan.
Selain itu jelas persefahaman suami dan keluarga penting dalam kejayaan beliau. Merenung kembali, “saya ketika itu diminta mengambilalih jawatan Pesuruhjaya Pergerakan Pandu Puteri Kebangsaan, jadi malam itu saya berbincang dengan Zahari. Setelah mendapat restu beliau baru saya terima jawatan tersebut kerana tanggungjawabnya begitu berat.” Ini juga menonjolkan keperibadian beliau yang memegang kuat segala tanggungjawab yang diletakkan ke atas bahu beliau.
Dato’ Hendon juga menasihati ibubapa muda bahawa keluarga perlu berkumpul sekerap yang mampu demi menjamin keakraban keluarga. Ibubapa juga perlu ambil tahu hal anak-anak, penting sekali harijadinya, ketika mereka berjaya dalam pelajaran ataupun aktiviti mereka sertai. Ini akan mendorong anak untuk lebih cemerlang dalam usahanya.
Sememangnya sesiapa yang memerhati keluarga Zahari ini jelas terpapar kasih sayang dan keakraban mereka sekeluarga walaupun kesemua mereka mempunyai haluan, pegangan serta keperibadian mereka sendiri.
A Guiding Light
Pelancaran buku biografi Dato’ Hendon – A Guiding Light - the Life and Work of Dato’ Hendon Haji Din” oleh Tun Dr. Siti Hasmah binti Hj Mohd Ali pada 17 Ogos yang lalu, memaparkan kerjasama ahli- ahli keluarga dalam menjayakan majlis termasuk menghiburkan tetamu.
Mengimbas kembali majlis tersebut, Dato’ Hendon ketawa akan idea menggunakan aerofloat (belon berbentuk kapal yang dipasangkan dengan alatan remote control) sebagai aktiviti pelancaran. “Saya takut kalau-kalaulah belon itu meletup dan jatuh atas tetamu. Nasib baik belon itu tiba ke stage dan tak terjadi apa-apa” katanya sambil tersenyum. Namun belon itu merupakan antara satu highlight yang tidak dapat dilupakan.
Buku autobiografi ini dicadangkan dan ditulis oleh rakan akrab beliau Puan Saroja Dev Param dan diterbitkan oleh Pelanduk Publications. Buku ini menceritakan bagaimana ibu mithali ini bukan sahaja berjaya mewujudkan keadaan di mana keluarganya berusaha mencapai kecemerlangan malah mampu berbakti kepada pembangunan negara. Buku “A Guiding Light” menceritakan pengalaman hidup Dato’ Hendon. Antaranya bagaimana beliau telah mendapatkan 43 jahitan dalam menyelamatkan salah satu anak lelakinya dari dilanggar kereta. Cerita anak gadis kampung ini begitu penuh inspirasi.
Sememangnya tepat, Tun Dr. Siti Hasmah menyatakan dalam ucapan perasmiannya bahawa “beliau (Dato’ Hendon) telah menyerang musuh sebenar masyarakat kita. Musuh-musuh ini bukannya manusia tetapi kejahilan mereka ... saya menyatakan ini kerana Hendon telah menunjukkan bahawa sekiranya kita menggunakan sumber yang ada, sekecil manapun, banyak yang boleh kita capai. Sekiranya kita dapat melihat peluang dalam kesusahan, kita akan mara juga. “
Penulis autubiografi ini Puan Saroja sememangnya berjaya menceritakan keistimewaan rakan karibnya. Menurutnya “dalam hati saya wujud satu cerita yang ingin saya ceritakan kepada rakan-rakan saya yang lain dan juga satu mesej yang ingin saya sampaikan kepada semua. Cerita penuh motivasi ini bagi mengilhamkan anak-anak muda masa kini.” Autobiografi ini menceritakan azam seorang anak gadis kampung untuk mencapai kecemerlangan dalam kehidupannya dan dalam mencapai kecemerlangan ini juga membangunkan keluarga. Ia memaparkan kesan keluarga terhadap komuniti serta kesan keazaman seorang ibu dalam membangunkan keluarganya serta menyumbang kepada pembangunan negaranya. Hasil jualan buku “A Guiding Light” ini akan diberikan kepada badan-badan sukrela berhubung dengan wanita-wanita muda dan kanak-kanak.
Penghargaan : PENITA mengucapkan ribuan terima kasih kepada Dato’ Hendon dan Puan Saroja atas kebenaran menggunakan bahan dari autobiografi Dato’ Hendon. Bagi mereka yang ingin membaca dengan lebih mengenai kehidupan Dato’ Hendon, buku ini boleh didapati di kedai-kedai buku ataupun dari penerbit buku Pelanduk Publications. Sambil membaca kita juga menyumbang kepada masyarakat kerana hasil jualan buku “A Guiding Light” ini akan diberikan kepada badan-badan sukarela berhubung dengan wanita-wanita muda dan kanak-kanak.






