The Penita Initiative

  • Increase font size
  • Default font size
  • Decrease font size
Home > Dr. Cecilia Ng Choon Sim

Dr. Cecilia Ng Choon Sim

E-mail Print PDF


See, judge, act

Ia adalah di mana kita melihat sesuatu isu, mengkaji isu tersebut dan bertindak menangani isu tersebut. Inilah prinsip yang dipegang oleh Dr Cecilia Ng. Anak kelahiran Pulau Pinang, Dr Cecilia merupakan seorang pejuang pembangunan wanita negara yang banyak berjasa kepada wanita Malaysia.

Dr Cecilia merupakan antara inspirasi dan role model bagi kami di Penita. Perjuangan beliau samada dari segi memperjuangan isu keganasan terhadap wanita kepada isu kedudukan wanita dalam pembangunan banyak mengupas ketidakadilan yang wujud dan menimpa kaum wanita. Selain itu, beliau bersama rakan-rakan seperjuangan memperjuangkan keadilan bagi wanita khususnya di negara kita.

Dr Cecilia merupakan seorang aktivis wanita yang menggunakan kepakaran beliau dari segi akademik, kajian dan analisa dalam memperjuangkan pembangunan wanita. Sebelum ini beliau pernah berkhidmat sebagai Professor Madya di Universiti Pertanian Malaysia (kini Universiti Putra Malaysia) sebelum bersara awal pada tahun 2000. Beliau kini bertugas sebagai Visiting Associate Professor di Asian Institute of Technology (AIT) di Bangkok Thailand.

Usaha beliau dalam memperjuangkan isu pembangunan wanita juga membawa beliau sebagai editor Journal Gender, Development and Technology terbitan Asian Institute of Technology (AIT). Ini menonjolkan kebolehan serta kepakaran beliau dalam isu wanita dan feminism.

Pembentukan keperibadian

Ikhtibar bagi Dr Cecilia untuk melibatkan diri dalam perjuangan keadilan dan pembangunan wanita bermula sejak kecil lagi. Bapanya En Ng Kok Seng banyak mempengaruhi keperibadian beliau. Dr Cecilia sewaktu menimbas peristiwa masa kecil, menyatakan kegigihan bapanya membantu golongan masyarakat kurang bernasib baik. Bapanya seorang guru sering memberi kelas bimbingan secara percuma membantu anak-anak miskin. Selain itu beliau prihatin masalah golongan kurang upaya. Inilah pengaruh awal serta asuhan awal beliau yang membentuk keperibadian beliau.

Selain pengaruh bapanya, pendidikan di sekolah juga banyak membentuk pendirian beliau. Pelajaran di Convent serta didikan Kristian yang beliau terima telah menanamkan sifat see, judge, act. Sewaktu di sekolah beliau juga aktif berpersatuan di mana daya kepimpinan dibentuk.

Pendedahan beliau ketika melanjutkan pelajaran di Amerika Syarikat dalam tahun 1970-an yang merupakan antara waktu kritikal dalam sejarah Amerika banyak mendedahkan beliau kepada tahap perjuangan nasionalisma. Menurut beliau, pelajar-pelajar Malaysia di luar negara juga menghayati perjuangan pelajar tempatan ketika itu yang berjuang mendapatkan hak pejalar. Lantas peristiwa-peristiwa dalam negara dan luar negara telah membentuk satu kesedaran nasionalisma di kalangan mereka. Dalam mengharungi peristiwa ini sememangnya banyak menimbulkan kesedaran kepentingan perjuangan keadilan sosial, di sinilah juga kesanggupan Dr Cecilia berjuang demi pembangunan jitu kaum ibu negara. 

Sewaktu mula-mula balik dari luar negara, Dr Cecilia telah melibatkan diri dalam perjuangan keadilan sosial. Melihat kepakaran dari segi akademik,beliau bersama-sama sahabat akademik seperti Dr Jomo K.S telah menerbitkan sebuah jurnal bertajuk INSAN.

Dalam menjalankan tugas Dr Cecilia mendapati bahawa wujud situasi kekurangan data serta statistik mengenai isu-isu berkenaan wanita. Menyedari hakikat ini yang membawa kepada kesulitan menganalisa situasi, kedudukan dan hak wanita dalam negara, Dr Cecilia telah melibatkan diri dalam satu jaringan sukarela. Menurut beliau seramai 20 pejuang pembangunan wanita ketika itu telah membentuk satu jaringan supaya mereka dapat fokus kepada masalah yang melanda wanita negara. Di antara 1980-1981 banyak perjumpaan telah dijalankan tetapi masih wujud kekosongan dari segi keberkesanan tindakan mereka.

Tindakan atasi keganasan terhadap wanita

Berpegang kepada tekad bahawa tindakan perlu diambil, maka mereka mengorak langkah baru. Antara isu penting adalah isu keganasan terhadap wanita. Di peringkat antarabangsa sudah wujud pelbagai inisiatif bagi isu ini ketika itu. Situasi dalam negara ketika itu berkisar atas keperluan tindakan dalam isu keganasan wanita. Situasi serius and kemampuan mendapat sokongan padu masyarakat juga mendorong keputusan untuk fokus kepada isu keganasan. Pada 1985 dalam meraikan Hari Wanita Sedunia sejarah tercatat apabila satu seminar dua hari telah dijalankan di ibu kota dengan kehadiran lebih 1000 orang membincangkan isu keganasan ke atas wanita seperti isu rogol, gangguan seksual dan pelacuran. Dr Cecilia mencerita bagaimana sokongan media telah menjana semangat memperjuangkan keadilan sosial ini.

Semangat ini melihat penubuhan beberapa peneraju isu ini seperti AWAM, WAO, WDC dan beberapa NGO lain. Ramai antara wanita dalam rangkaian in termasuk Dr Cecilia merupakan antara pengasas pertubuhan wanita ini. Dr. Cecilia secara khususnya merupakan antara pengasas All Women’s Action Society Malaysia (AWAM) dan Women’s Development Collective.

Salah satu strategi kukuh oleh kumpulan wanita ini adalah penubuhan jaringan JAG atau “Joint Action Group against Violence Against Women" yang pada waktu itu dianggotai oleh Women’s Aid Organisation (WAO), Persatuan Peguam Wanita (AWL), Persatuan Pengguna Selangor, MTUC- Bahagian Wanita dan University Women’s Association (UWA) Universiti Malaya.

Sumbangan kajian

Berpegang kepada prinsip see, judge, act, Dr Cecilia banyak menjalankan kajian dan analisa dalam isu wanita. Pada awalnya beliau giat mengkaji keadaan wanita di kawasan luar bandar. Antara kajian beliau ada membawa beliau ke kampung pendalaman seperti Pulau Tawar di Jerantut, Pahang. Penyelidikan beliau melihat impak globalisasi serta perubahan teknologi kepada pekerjaan wanita.

Setelah beliau ditahan di bawah ISA pada akhir 1980-an, beliau terpaksa beralih kajian beliau ke kawasan bandar ekoran sekatan yang dikenakan ke atasnya. Di sini kita lihat kegigihan Dr.Cecilia yang menukarkan keadaan yang mengongkong kepada satu peluang. Ini juga merupakan satu yang baik kerana melalui proses urbanisasi yang begitu pesat ramai wanita telah datang ke kota untuk bekerja.

Dr Cecilia melalui buku yang diedit beliau usahasama dengan United Nations Development Programme (UNDP) bertajuk “Teleworking and Development in Malaysia” pada 2001 telah melihat perubahan teknologi maklumat yang membawa peluang telekerja. Implikasi telekerja amat besar kepada wanita dan wujud beberapa cabaran. Buku ini melihat cabaran seperti isu kualiti kerja serta perjuangan kumpulan wanita mengenai isu ini

Isu gangguan seksual

Selain itu satu sumbangan yang amat besar adalah dalam isu gangguan seksual. Menurut Dr Cecilia, usaha perjuangan isu gangguan seksual telah dijalankan sewaktu memperjuangkan isu keganasan atas wanita.

Mengimbas kajian “A Pioneering Step :Sexual Harassment & The Code of Practice In Malaysia” yang dijalankan Dr Cecilia bersama Zanariah Mohd Nor dan Maria Chin Abdullah, perjuangan ini bermula secara khusus dengan kempen oleh MTUC-Bahagian Wanita pada tahun 1988. Isu ini dipergiatkan dengan kerjasama dengan AWAM melalui program pendidikan dan latihan. Atas kegigihan perjuangan ini, AWAM telah dilantik ke Jawatankuasa Teknik Mengenai Gangguan Seksual oleh Kementerian Perpaduan dan Pembangunan Sosial pada 1998 iaitu Jawatankuasa pertama Kerajaan dalam perkara ini.

Pada 1999 satu lagi kejayaan dengan pengumuman hasrat mengubal kod etika Kementerian Sumber Manusia. Pada tahun 2000 AWAM bersama WDC telah menjalankan kajian mengenai isu ini yang merupakan sebahagian daripada rancangan tiga tahun AWAM ke arah membina Komuniti bebas keganasan.Dr Cecilia dan rakan-rakan seperjuangan telah menjalankan kajian mengenai tahap gangguan seksual, persepsi gangguan seksual serta keberkesanan implementasi Kod Etika mencegah gangguan seksual.

Dari kajian “A Pioneering Step :Sexual Harassment & The Code of Practice In Malaysia” yang dilakukan didapati bahawa perundangan semasa tidak menawarkan perlindungan yang mencukupi bagi mangsa gangguan seksual samada di peringkat menjenayahkan perbuatan maupun di peringkat pengurusan.


Lebih kurang 35% responden menyatakan bahawa mereka pernah mengalami masalah ini. Antara ini lebih 38% wanita berbanding 32% lelaki pernah mengalami gangguan seksual. Ini mengukuhkan bahawa wanita lebih terdedah kepada permasalahan ini. Namun begitu didapati lebih 58% mangsa hanya akan memberitahu rakan setugas daripada mengambil tindakan atau membuat aduan. Konfiden terhadap proses aduan tidak tinggi di mana hanya 40% menyatakan hasrat menggunakan proses aduan. Sungguhpun begitu kajian mendapati bahawa hanya 22-25% sahaja mangsa yang benar-bernar membuat aduan.

Menurut Dr Cecilia, daripada lebih 100 orang yang ditemuramah, ramai tidak sedar apa itu gangguan seksual. Sesetengah yang sedar dan ditimpa masalah ini, ada yang mengambil tindakan. Walaupun tindakan boleh diambil, ramai mangsa takut dipandang rendah oleh ketua mereka, majikan serta pekerja lain. Ada pula yang tidak percaya pada prosedur yang digunakan untuk mengadili situasi. Ramai pula yang mengenepikan perkara ini ataupun berhenti kerja.

Meninjau bentuk gangguan seksual pula, kajian yang dijalankan ini menunjukkan bahawa daripada 45 kes yang diperolehi melalui temuduga responden, 38% adalah berbentuk verbal atau percakapan. Manakalah 33% menyatakan ianya berbentuk fizikal. Berbanding 13% berbentuk visual. Walaupun definasi benar ganggaun seksual tidak wujud, namun secara amnya sebarang perbuatan yang berbau seksual yang menyentuh martabat wanita dan lelaki di tempat kerja merupakan satu gangguan seksual.

Atas kesedaran ini, JAG telah membentangkan satu cadangan undang-undang Gangguan Seksual. Antara impak cadangan ini adalah di mana semua majikan wajib memastikan tempat kerja bebas gangguan seksual serta memberikan mangsa perlindungan dari segi undang-undang. Di sini merupakan cabaran masyarakat hari ini untuk memastikan tempat kerja kita selamat untuk semua.

Perpaduan

Meninjau perjuangan Dr Cecilia, Penita kagum dengan sikap dan kegigihan beliau yang bukan setakat sedar ketidakadilan dalam masyarakat malah berjuang mencari jalan penyelesaian bagi isu-isu ini.

Keseluruhanya cabaran utama adalah membina perpaduan rakyat berbilang kaum dan bangsa. Maufakat serta penyertaan masyarakat amat penting supaya wujud keadaan negara yang adil kepada semua rakyat. Walaupun Dr Cecilia banyak menghadapi halangan termasuk penahanan beliau dibawah ISA, beliau masih menabur bakti kepada negara membina pengisian kemerdekaan kita.

Beliau antara idola negara serta sri kandi negara yang banyak berbakti kepada negara terutamanya kaum wanita negara.

Marilah kita mempraktik prinsip beliau supaya celik melihat isu semasa yang membelenggu pembangunan wanita, membuat analisa mengenai isu ini dan mengatur strategi menangani cabaran ini.

 
Banner

Thursday, 20th June, 2013

Polls

What is the state of women's voice today?