Usianya Dipenuhi Detik Peristiwa Bersejarah
Dari raut wajahnya dan suaranya jelas ternyata beliau seorang yang tegas, berdisiplin, gigih dan berkeyakinan tinggi. Setiap tahun usianya dipenuhi dengan detik-detik yang penuh inspirasi dan peristiwa bersejarah.
Puan Bhupalan telah mencatat sejarah dalam perjuangan pembangunan wanita sebagai pengasas, pendorong dan penggerak kepada beberapa pertubuhan wanita. Penglibatan beliau dalam pertubuhan wanita bermula dari zaman sebelum merdeka dan dipergiatkan selepas pencapaian merdeka.
Mengikut beliau, “Saya bersama-sama sekumpulan kecil guru wanita telah memulakan Kesatuan Guru-guru Wanita. Keistimewaan Kesatuan ini ialah keahliannya tidak mengira bangsa atau cara latihan diberi, asalkan guru tersebut wanita beliau layak memasuki kesatuan ini.
Kami menuntut guru-guru wanita diberi penghormatan yang sama. Pendorong utama proses ini adalah kerana satu ketidakadilan sedang berlaku. Segmentasi guru wanita mengikut kaum dan bangsa tidak serasi dengan keperluan perpaduan negara.”
“Dalam memperjuangkan isu gaji sama bagi pekerjaan sama, kami dapati beberapa ketidakadilan serta diskriminasi dari era sebelum merdeka, masih wujud. Bagi melakukan sebarang perubahan, kaum wanita perlu dikuatkan. Satu strategi adalah melalui penubuhan Majlis Kebangsaan Wanita. Ini dalam tempoh 2 setengah tahun selepas merdeka.”Menurut Puan Bhupalan pada awalnya NCWO ini melibatkan hanya pertubuhan-pertubuhan wanita NGO. Tetapi selepas kejayaan kerjasama dengan cawangan wanita parti-parti politik, perubahan dibuat. Perubahan ini mencerminkan bahawa perpaduan dan kerjasama antara wanita perlu dijalinkan. Ini kerana setiap wanita, terutama sekali penglibatan wanita dalam politik. Dalam pada itu, kita perlu meyokong ahli-ahli politik wanita demi menegakkan kedudukan wanita. Ini adalah tanggungjawab kita sebagai wanita.
Rasammah Naomi Navaretnam telah dilahirkan pada 1.5.1927. Beliau merupakan anak bongsu kepada En. & Puan P.E. Navaretnam. Beliau merupakan salah satu tokoh wanita kita yang merupakan pengasas kepada pergerakan pembangunan wanita sejak merdeka. Apakah rahsia semangat perjuangan dan dedikasi beliau?
Pembentukan keperibadian
“Detik penting dalam pembentukan diri saya berlaku sewaktu saya berumur 16 tahun. Saya telah menyertai Regimen Jhansi Rani dalam Tentera Nasionalis India di bawah kepimpinan Netaji Subash Chandra Bose. Falsafah mengorbankan diri untuk mencapai keadilan (ketika itu untuk kemerdekaan India) telah masuk ke dalam jiwa dan mengubah pendirian hidup saya.” Transfomasi ini sememangnya satu yang ketara bagi seorang anak gadis dari keluarga Kristian yang kuat beragama.
Tambahnya, “Netaji Subash Chandra Bose memainkan peranan yang penting dalam transformasi ini.” Beliau mengakui bahawa alam persekolahan awal beliau di Anglo-Chinese Girls School di Ipoh juga telah banyak memberikan pendedahan kepada projek-projek sivik. Terutama sekali selepas Perang Dunia Kedua. Pengaruh ibunya juga ternyata telah membentuk dirinya. “Penglibatan aktif ibu saya dalam Pertubuhan Young Women’s Christian Association (YWCA) di Ipoh juga membentuk diri saya. YWCA merupakan pertubuhan wanita tertua di Malaysia. Ibu saya mendedahkan saya kepada pelbagai isu menyentuh hal-ehwal wanita terutama yang kurang daya serta kemampuan dan kepentingan perpaduan berbilang kaum.”
Semangat kepimpinan
Puan Bhupalan menyertai bidang pendidikan dalam Jun 1955 sebagai seorang guru di Methodist Girls School di Pulau Pinang. Dalam tempoh awal kerjayanya beliau telah berkhidmat di Pulau Pinang, Ipoh, Melaka dan Kuala Lumpur. Di semua bandar-bandar ini, beliau turut giat aktif dalam pergerakan YWCA, Persatuan India Pulau Pinang and pergerakan Rama Krishna. Beliau pernah dilantik Presiden YWCA Malaya dan Singapura.
“Penglibatan saya di bandar-bandar ini telah memberi pengalaman dan membuka pandangan saya mengenai pelbagai isu hal ehwal wanita. Ketika saya pulang ke Kuala Lumpur pada 1959, saat itu amat menyedihkan saya. Dua tahun selepas merdeka, Kerajaan Merdeka melalui perancangan pendidikan baru, perkhidmatan guru wanita akan didiskriminasikan.
Saya bersama-sama sekumpulan kecil guru wanita telah memulakan Kesatuan Guru-guru Wanita. Keistimewaan Kesatuan ini ialah keahliannya tidak mengira bangsa atau cara latihan diberi, asalkan guru tersebut wanita beliau layak memasuki kesatuan ini. Kami menuntut guru-guru wanita diberi penghormatan yang sama. Pendorong utama proses ini adalah kerana satu ketidakadilan sedang berlaku. Segmentasi guru wanita mengikut kaum dan bangsa tidak serasi dengan keperluan perpaduan negara.”
Sokongan keluarga
“Saya sungguh bertuah. Bapa saya En.P.E. Navarednam merupakan salah satu daripada empat guru superscale pada 1927. Ketika itu beliau menjadi guru besar. Itu juga tahun saya dilahirkan. Ibu saya Puan Nancy Gertrade Navaetnam juga seorang guru.”
Pada Januari 1952, beliau telah berkahwin dengan Dr. F R Bhupalan yang merupakan pakar bius Malaya pertama. Mereka dianugerahkan tiga orang anak iaitu Puan Subhashini Ann Cooksley, seorang peguam di England, Dr. Nazri Bhupalan, pakar bius dan Dr. Anand Jonathan Bhupalan, pensyarah Fakulti Perubatan, Universiti Kebangsaan.
“Suami saya merupakan mentor saya yang utama. Saya percaya tiada wanita (setelah berkahwin) boleh mencapai tahap maximum beliau tanpa sokongan padu suaminya.“
“Sokongan daripada ibu saya dan mertua saya juga banyak membantu saya. Kami semua hidup sebumbung. Ibu saya dan mertua saya begitu akrab sekali bagaikan adik beradik. Perhubungan kami begitu mesra. (wajahnya yang pilu merenung seketika). Saya juag bernasib baik kerana dapat pembantu rumah baik. Semua inilah kurniaan yang saya perolehi.”
“Sewaktu saya pergi 60 hari ke USA di bawah undangan Kerajaan USA mewakili NCWO dengan Datin Kamsiah dan Pn Ruby Lee, saya telah pergi dengan hati yang lapang. Ini kerana saya tahu keluarga saya akan dijaga dengan baik.” Perasaan konfiden sememangnya membina keyakinan diri dan merupakan satu kekuatan bagi Puan Bhupalan.
Mendidik anak-anak
Sesibuk manapun tanggungjawab seorang ibu perlu dilaksanakan. “Saya mengurus masa dan menyediakan masa bagi anak-anak selepas sekolah dan di hujung minggu.”
“Saya juga cuba melibatkan anak-anak saya dalam kegiatan saya supaya mereka faham. Adakala mereka bising. Suami saya banyak membantu saya dalam hal ini. Saya masih ingat peristiwa Mei 13 dimana pada hari ke-3 Tan Sri Fatimah dan saya diiringi tentera telah pergi ke kawasan-kawasan bahaya. Anak-anak saya duduk di tangga menunggu kepulangan saya. Saya menerang keadaan kawalan ketat, orang takut dan tidak boleh keluar rumah. Jadi kami telah membantu mereka keluar rumah membuang sampah dan memberi bekalan makanan. Perkara-perkara ngeri yang telah berlaku saya tidak perlu terangkan kepada mereka.”
Disiplin Diri
“Kita perlu pentingkan pengurusan masa. Saya sering tidur 4 hingga 5 jam sehari . Bukan senang tetapi amat memuaskan.”
Menurutnya beliau puas melihat perubahan hasil usaha NCWO. Beliau berbangga menjadi sebahagian daripada satu kumpulan pengasas wanita yang penuh dedikasi dan semangat untuk mewujudkan keadilan bagi wanita dan memastikan wanita dilayan samarata dalam perkongsian bersama. Perkahwinan monogami bagi bukan Islam sekarang sudah menjadi satu kebiasaan. “Saya melihat krisis rogol yang begitu teruk dan bersama NCWO mendesak perundangan yang lebih ketat. NCWO dibawah pimpinan saya ketika itu amat menghargai sokongan yang diberikan oleh Tun Hanif Omar. Malangnya hari ini penguatkuasaan undang-undang terlalu lemah.”
Nasihat bagi generasi wanita muda hari ini
Menurut Puan Bhupalan, adalah penting bagi wanita berkarier dan berkeluarga mencari satu keseimbangan dalam kerjaya, keluarga dan tanggungjawab kemasyarakatan. “Suami dan isteri perlu bekerjasama. Kaum lelaki perlu membangunkan diri mereka dari belenggu amalan kuno. Jangan ingat isteri sahaja bertanggungjawab. Dengan memberikan duit sahaja semua masalah keluarga diatasi. “
Beliau juga menasihati wanita yang berkeupayaan memberikan 2 jam seminggu untuk kerja-kerja menyentuh hal-ehwal wanita dan kanak-kanak. Ramai yang perlu bantu dan sokongan. “Misalnya, seorang guru boleh memberi 2 jam bagi membantu seorang kanak-kanak yang mempunyai kelemahan pelajaran. Ini akan membantu anak tersebut dan juga penting untuk perkembangan kita sendiri.”





